LOGLINE:
Berkonsepkan
cinta, dendam, kasih sayang dan pengorbanan. Berkisarkan dari generasi ke lima
yang dikejutkan dengan kisah penghapusan sebuah keluarga. Semuanya
berpunca daripada moyang mereka. Maka generasi kelima ini ingin perbetul dan cantumkan semula silaturahim. Termeterainya
sebuah perjanjian mengarut telah membuat hati si gadis dan jejaka menjadi tidak menentu. Demi membayar segala
kepiluan dan kesengsaraan, mereka menaikkan semula warisan makyong yang telah
dipelopori oleh moyang mereka.
SINOPSIS:
Beberapa hari sebelum kepergian ke Hong Kong, Zsa
Zsa Bella terjumpa keratan akhbar mengenai gerai terbakar yang diselit di dalam
baju kurung Nenek Fatma. Berita berkenaan telah membuat keinginan Zsa Zsa Bella
untuk menyiasat.
Zsa Zsa Bella seorang Blogger, ditugaskan membuat
pengulasan tentang perniagaan Puan Maria, seorang usahawan barangan kemas.
Kunjungannya ke Hong Kong telah menemukan dia dengan seorang jejaka yang
digelarkannya ‘Harajuku’ bernama Madd I Z. Kedua-dua pemiliki nama pelik ini
teramat ego. Di sepanjang lawatan, masing-masing ingin mengenakan antara satu
sama lain sehingga termeterai sebuah perjanjian mengarut.
Manakala,
Madd I Z pernah menyerahkan urusan mencari jodoh kepada kedua orang tuanya tapi
itu dulu. Setelah bertemu Zsa Zsa Bella, perasaannya berlainan benar. Sekembalinya
Madd I Z dari Hong Kong, ayah dan ibunya telah menerima Damia Qistina sebagai
calon menantu mereka. Madd I Z kalah apabila melihat ibunya menangis. Namun
berusaha untuk menangguhkan perkahwinannya. Gambarnya berambut Harajuku terhias dipenjuru blog
ZsaZsaBella.com. Dari situ sudah membuktikan bahawa Zsa Zsa Bella merindui jejaka
Harajuku itu. Hati Madd I Z menjadi bangga.
Zsa Zsa Bella terpandang ada satu gambar lama
seorang lelaki sambil memeluk tubuh berdiri di hadapan sebuah kereta jenis Colt
Gallant yang terlekat di dinding. Madd I Z memberitahu lelaki itu adalah
ayahnya. Gerak hati Zsa Zsa Bella, sudah dapat ketahui siapa pemilik kereta
Colt Gallant merah yang telah merempuh gerai makan milik neneknya itu. Dia
harus berhati-hati sekarang ini dan berharap mudah-mudahan Madd I Z tidak
mengsyakki sesuatu tentang artikel berkenaan.
Hati Madd I Z berbunga gembira kerana hajat untuk
mencari jejak yang hilang di Kelantan telah dikabulkan Allah swt. Rupanya di New
Zealand baru dapat berjumpa. Tidak sia-sia dia menyarung cincin di jari Zsa Zsa
Bella yang menjadi tanda persahabatan mereka. Oleh kerana perjanjian itu telah memutikkan rasa cinta antara
mereka. Namun, ada kecewa menduga rasa
kerana terpaksa melepaskan seseorang yang bakal menjadi miliknya. Hatinya amat
terguris. Tapi, itulah keputusan yang dipilihnya kerana dia sudah ada Damia
Qistina. Dia tidak mahu mengecewakan keluarganya.
Bukan niat Zsa Zsa Bella hendak memutuskan
hubungan, tapi Madd I Z sudah menjadi tunangan orang. Dia tidak mahu dituduh
perampas. Dia memutuskan untuk tidak punyai sebarang hubungan dengan Madd I Z
dan ingin menyahut seruan neneknya untuk mengembalikan kegemilangan kesenian
makyong dan juga warisan Tok Nyang Bakri. Tambahan pula, jejaka itu adalah dari
keturunan Moyang Jalita. Apakah neneknya sanggup menerima kisah duka bahawa
cicit Moyang Jalita telah menghancurkan segala impiannya? Cicit Moyang Jalita
memungkiri janjinya. Di samping itu dia harus berhati-hati kerana hati manusia
luaran nampak baik tapi di dalam secebis dendam itu tetap ada.
Betapa sering pekerjaan yang digeluti, membuat Madd
I Z kehilangan waktu untuk memikirkan tentang cinta. Namun di dalam hati hanya
ada seorang. Seorang sahabat. Seseorang yang amat dirinduinya walaupun ketahui
ada prahara bakal menerjang. Di waktu yang sama, Madd I Z tidak mengerti kenapa hatinya membenci? Dia juga
kehairanan kenapa dia sungguh-sungguh ingin membuang keinginan untuk memiliki Zsa
Zsa Bella. Anehnya, berbuih-buih dia mengucapkan kata-kata benci dan setiap
kali itu jugalah ungkapan itu lahir bersama selangit cinta yang tidak
terhingga. Ternyata dia masih belum berjaya mengikis perasaan itu. Akan tetapi
kenapa benci memagari selangit cintanya? Bagaimana ini terjadi?
Entah mengapa, Zsa Zsa Bella merasakan, semakin
dia membenci Madd I Z, semakin melekat ingatannya kepada lelaki itu. Sudah puas dia berdiri. Berembun menyejukkan diri di serambi. Apa yang dia
ingin tunggu sebenarnya? Dia sendiri tidak ketahui. Tapi hatinya begitu kuat
menyuruh, menunggu di anjung. Anjung kegemaran Nenek Fatma juga. Apakah Nenek
Fatma juga seperti Zsa Zsa Bella? Menunggu sesuatu atau seseorang yang tak
pasti? Persoalan itu juga sering bermain
di minda Zsa Zsa Bella.
Hari
yang datang tetap akan pergi bersama peristiwa suka duka dan meninggalkan kita
untuk dijadikan kenangan dan teladan. Begitu juga Madd I Z dan Zsa Zsa Bella
tidak terkecuali dari terjahan dan perubahan hati yang semakin hari semakin
mengganggu fikiran mereka. Akan tetapi, Nenek Fatma dan Puan Maria tampak
kurang senang melihat perubahan mereka berdua.
Zsa Zsa Bella merasa sangat malu di atas apa yang
telah berlaku. Bagaimana cara yang lebih mudah untuknya jelaskan perkara yang
sebetulnya kepada Madd I Z. Bukan kehendak dia bertunang dengan jejaka pilihan
Nenek Fatma. Jujur, kerinduan itu tidak mampu dilontarkannya ke dasar Selat
Melaka. Tapi apa yang tinggal di hati bagaikan belati tajam menusuk ke jantung
hati. Namun, apalah yang hendak dimarah dan dikecewakan. Madd I Z juga sudah ditunangkan.
Mereka sama-sama dipaksa dan teraniaya.
Dari segala yang datang, mereka berdua tidak tahu
kenapa mereka tidak mampu melupakan apa yang pernah mereka lalui bersama. Dari
awal pertemuan di Hong Kong adalah hal yang selalu mengingatkan diri mereka
tentang perjanjian persahabatan mereka. Kerana permulaan pertemuan di sana
membuatkan Madd I Z dan Zsa Zsa Bella merasa menjadi insan terbodoh namun
senang. Dalam hati tetap mencintai. Memang sukar untuk menghapuskan satu rasa
yang terpenjara. Di dalam hati masing-masing hanya ada seorang yang amat
dirindui. Sehingga tak mampu membuka pintu hati
untuk orang lain.
Demi membayar segala kepiluan dan
kesengsaraan atas segala peristiwa, segala ketakutan, segala perhitungan,
segala persoalan, segala kemusykilan dan
segala rasa yang ada. Zsa Zsa Bella berazam untuk menaikkan semula warisan
makyong yang telah dipelopori oleh Tok Nyang Bakri.

No comments:
Post a Comment