Sunday, April 22, 2018




Kalau tak mahu terhalang dan tertunda masuk Syurga, bayarlah hutang. 
Jangan tanguh-tangguh!
Bahaya kepandaian adalah berbuat sekehendak hati.
Orang yang ikhlas hendak berubah, 
tidak akan terkesan dengan sindiran. 
Dari itu buat tak kisah aja.
                   Adalah hal biasa apabila melihat perahu di atas air.
Namun bahaya dan hati-hati apabila melihat air di dalam perahu.

Friday, April 20, 2018







Gorengnya 2 ekor ikan pekasam tu... tapi aromanya menyengat satu rumah. Apapun... bila makan bersama sambal terung pipit/bimbang emmm lumayan enak.




LOGLINE:

Berkonsepkan cinta, dendam, kasih sayang dan pengorbanan. Berkisarkan dari generasi ke lima yang dikejutkan dengan kisah penghapusan sebuah keluarga. Semuanya berpunca daripada moyang mereka. Maka generasi kelima ini ingin perbetul dan cantumkan semula silaturahim. Termeterainya sebuah perjanjian mengarut telah membuat hati si gadis dan jejaka  menjadi tidak menentu. Demi membayar segala kepiluan dan kesengsaraan, mereka menaikkan semula warisan makyong yang telah dipelopori oleh moyang mereka.


SINOPSIS:

Beberapa hari sebelum kepergian ke Hong Kong, Zsa Zsa Bella terjumpa keratan akhbar mengenai gerai terbakar yang diselit di dalam baju kurung Nenek Fatma. Berita berkenaan telah membuat keinginan Zsa Zsa Bella untuk menyiasat.
Zsa Zsa Bella seorang Blogger, ditugaskan membuat pengulasan tentang perniagaan Puan Maria, seorang usahawan barangan kemas. Kunjungannya ke Hong Kong telah menemukan dia dengan seorang jejaka yang digelarkannya ‘Harajuku’ bernama Madd I Z. Kedua-dua pemiliki nama pelik ini teramat ego. Di sepanjang lawatan, masing-masing ingin mengenakan antara satu sama lain sehingga termeterai sebuah perjanjian mengarut.
Manakala, Madd I Z pernah menyerahkan urusan mencari jodoh kepada kedua orang tuanya tapi itu dulu. Setelah bertemu Zsa Zsa Bella, perasaannya berlainan benar. Sekembalinya Madd I Z dari Hong Kong, ayah dan ibunya telah menerima Damia Qistina sebagai calon menantu mereka. Madd I Z kalah apabila melihat ibunya menangis. Namun berusaha untuk menangguhkan perkahwinannya. Gambarnya berambut Harajuku terhias dipenjuru blog ZsaZsaBella.com. Dari situ sudah membuktikan bahawa Zsa Zsa Bella merindui jejaka Harajuku itu. Hati Madd I Z menjadi bangga.
Zsa Zsa Bella terpandang ada satu gambar lama seorang lelaki sambil memeluk tubuh berdiri di hadapan sebuah kereta jenis Colt Gallant yang terlekat di dinding. Madd I Z memberitahu lelaki itu adalah ayahnya. Gerak hati Zsa Zsa Bella, sudah dapat ketahui siapa pemilik kereta Colt Gallant merah yang telah merempuh gerai makan milik neneknya itu. Dia harus berhati-hati sekarang ini dan berharap mudah-mudahan Madd I Z tidak mengsyakki sesuatu tentang artikel berkenaan.
Hati Madd I Z berbunga gembira kerana hajat untuk mencari jejak yang hilang di Kelantan telah dikabulkan Allah swt. Rupanya di New Zealand baru dapat berjumpa. Tidak sia-sia dia menyarung cincin di jari Zsa Zsa Bella yang menjadi tanda persahabatan mereka. Oleh kerana perjanjian itu telah memutikkan rasa cinta antara mereka. Namun, ada kecewa menduga rasa kerana terpaksa melepaskan seseorang yang bakal menjadi miliknya. Hatinya amat terguris. Tapi, itulah keputusan yang dipilihnya kerana dia sudah ada Damia Qistina. Dia tidak mahu mengecewakan keluarganya.
Bukan niat Zsa Zsa Bella hendak memutuskan hubungan, tapi Madd I Z sudah menjadi tunangan orang. Dia tidak mahu dituduh perampas. Dia memutuskan untuk tidak punyai sebarang hubungan dengan Madd I Z dan ingin menyahut seruan neneknya untuk mengembalikan kegemilangan kesenian makyong dan juga warisan Tok Nyang Bakri. Tambahan pula, jejaka itu adalah dari keturunan Moyang Jalita. Apakah neneknya sanggup menerima kisah duka bahawa cicit Moyang Jalita telah menghancurkan segala impiannya? Cicit Moyang Jalita memungkiri janjinya. Di samping itu dia harus berhati-hati kerana hati manusia luaran nampak baik tapi di dalam secebis dendam itu tetap ada.
Betapa sering pekerjaan yang digeluti, membuat Madd I Z kehilangan waktu untuk memikirkan tentang cinta. Namun di dalam hati hanya ada seorang. Seorang sahabat. Seseorang yang amat dirinduinya walaupun ketahui ada prahara bakal menerjang. Di waktu yang sama, Madd I Z tidak mengerti kenapa hatinya membenci? Dia juga kehairanan kenapa dia sungguh-sungguh ingin membuang keinginan untuk memiliki Zsa Zsa Bella. Anehnya, berbuih-buih dia mengucapkan kata-kata benci dan setiap kali itu jugalah ungkapan itu lahir bersama selangit cinta yang tidak terhingga. Ternyata dia masih belum berjaya mengikis perasaan itu. Akan tetapi kenapa benci memagari selangit cintanya? Bagaimana ini terjadi?
Entah mengapa, Zsa Zsa Bella merasakan, semakin dia membenci Madd I Z, semakin melekat ingatannya kepada lelaki itu. Sudah puas dia berdiri. Berembun menyejukkan diri di serambi. Apa yang dia ingin tunggu sebenarnya? Dia sendiri tidak ketahui. Tapi hatinya begitu kuat menyuruh, menunggu di anjung. Anjung kegemaran Nenek Fatma juga. Apakah Nenek Fatma juga seperti Zsa Zsa Bella? Menunggu sesuatu atau seseorang yang tak pasti?  Persoalan itu juga sering bermain di minda Zsa Zsa Bella.
Hari yang datang tetap akan pergi bersama peristiwa suka duka dan meninggalkan kita untuk dijadikan kenangan dan teladan. Begitu juga Madd I Z dan Zsa Zsa Bella tidak terkecuali dari terjahan dan perubahan hati yang semakin hari semakin mengganggu fikiran mereka. Akan tetapi, Nenek Fatma dan Puan Maria tampak kurang senang melihat perubahan mereka berdua.
Zsa Zsa Bella merasa sangat malu di atas apa yang telah berlaku. Bagaimana cara yang lebih mudah untuknya jelaskan perkara yang sebetulnya kepada Madd I Z. Bukan kehendak dia bertunang dengan jejaka pilihan Nenek Fatma. Jujur, kerinduan itu tidak mampu dilontarkannya ke dasar Selat Melaka. Tapi apa yang tinggal di hati bagaikan belati tajam menusuk ke jantung hati. Namun, apalah yang hendak dimarah dan dikecewakan. Madd I Z juga sudah ditunangkan. Mereka sama-sama dipaksa dan teraniaya. 
Dari segala yang datang, mereka berdua tidak tahu kenapa mereka tidak mampu melupakan apa yang pernah mereka lalui bersama. Dari awal pertemuan di Hong Kong adalah hal yang selalu mengingatkan diri mereka tentang perjanjian persahabatan mereka. Kerana permulaan pertemuan di sana membuatkan Madd I Z dan Zsa Zsa Bella merasa menjadi insan terbodoh namun senang. Dalam hati tetap mencintai. Memang sukar untuk menghapuskan satu rasa yang terpenjara. Di dalam hati masing-masing hanya ada seorang yang amat dirindui. Sehingga tak mampu membuka pintu hati untuk orang lain. 
Demi membayar segala kepiluan dan kesengsaraan atas segala peristiwa, segala ketakutan, segala perhitungan, segala persoalan, segala kemusykilan dan segala rasa yang ada. Zsa Zsa Bella berazam untuk menaikkan semula warisan makyong yang telah dipelopori oleh Tok Nyang Bakri.

Wednesday, April 18, 2018




Adakalanya perjalanan hidup ini begitu pelik dan melelahkan. Kadang-kadang hal yang diharapkan, berbenturan dengan kenyataan. Orang menganggapnya sebagai takdir. Sebenarnya, di situlah perasaan bermakna, salah satunya adalah cinta. - ANJUNG RINDU @ ALIA ZARA terbitan SR Publication.



Tinta Penulis
ANJUNG RINDU merupakan novel pertama saya bersama SR Publication dan ini merupakan sebuah kisah percintaan Madd I Z dan Zsa Zsa Bella yang terperangkap di dalam kebencian, dendam serta persengketaan. Madd I Z ingin hentikan semua persengketaan. Segalanya bukan kehendak mereka. Baginya, mereka berdua masih ada hubungan kekeluargaan. Mereka dari keturunan yang sama dan berkongsi nenek moyang yang sama.
Kadang-kadang hal yang diharapkan berbenturan dengan kenyataan. Orang menganggapnya sebagai takdir dan di situlah perasaan bermakna, salah satunya adalah cinta. Apa yang dialami Madd I Z memang biasa, terjadi pada manusia umumnya. Tetapi ini menjadi luar biasa, ketika ia merasa bahawa dirinya bagai pungguk merindukan bulan. 
Sebenarnya, Zsa Zsa Bella inginkan penjelasan tentang hubungan mereka, betapa perihnya dia harus berjalan di atas kerikil yang tajam. Dia inginkan langkah yang terarah, memiliki tujuan sehingga dia dapat berpegang kuat pada tekadnya, saat badai menggoncang keyakinannya.
Untuk itu, sekiranya terdapat salah dan silap atau mengguris hati sesiapa yang secara kebetulan ada persamaan, saya mohon maaf  kerana cerita ini hanyalah rekaan semata-mata.
Sekian dan terima kasih buat kalian tersayang.


Alia Zara @ Zara Aluwi
Assalamualaikum... salam kenal.  Mencari idea apa yang ada di hadapan mata.